Dhia bergilir-gilir dengan Kak Wani memandang ke arah satu meja yang terletak tidak jauh daripada meja mereka. Mereka berdua saling berpandangan. Serentak mereka mengangkat bahu tanda tidak faham dengan situasi tegang yang sedang berlaku di meja seberang yang diduduki oleh Hayden dan Harraz itu. Hanya berbalas pandangan tajam saja sejak tadi tanpa satu patah perkataan pun keluar dari mulut masing-masing. Oleh kerana jumlah mereka semua terlalu ramai, mereka terpaksa berpecah kepada dua meja yang berlainan. Dua orang daripada mereka berdua belas kena duduk meja yang berlainan. Disebabkan Hayden dan Harraz yang kalah main osom tadi, mereka berdualah yang terpaksa duduk satu meja bersama-sama. Manakala, yang lain duduk meja panjang di meja lagi satu. "Macam tak okey je keadaan dekat sana tu, kak. Tegang semacam je Dhia tengok," sesekali matanya mengerling meja bersebelahan dengan mereka itu. Dia nak makan nasi ayam goreng miliknya pun tak berselera melihatkan keadaan tegang di meja seberang sana. Hayden pandang Harraz macam nak makan, Harraz pula pandang Hayden macam tak puas hati. "Takde apalah. Diorang masih nak berkenalan lah tu. Lama-lama nanti okey lah tu," ujar Kak Wani tenang. Bahu Dhia ditepuk lembut, mengurangkan kerisauan yang membelenggu gadis itu saat ini. Mihun goreng disumbat ke dalam mulutnya. Manakala di meja Hayden dan Harraz pula, keadaan masih tidak berubah walaupun sudah sepuluh minit masa berlalu sejak mereka tiba di sini. Kedua-dua antara mereka enggan buka mulut untuk memulakan perbualan. Hanya bunyi sudu dan garfu yang kadang-kadang berlaga saja yang menemani meja mereka sejak tadi. "Umur berapa?" Soal Hayden kepada Harraz. Ini merupakan perbualan pertamanya bersama lelaki itu. Kalau ikutkan hati, dia langsung tak mahu berborak dengan jejaka yang duduk dihadapannya ini tapi apakan nasib. Dah dia dapat semeja dengan Harraz, takkan dia nak biarkan keadaan sunyi sepi sampai balik kut. "28. Kau?" Jawab Harraz acuh tak acuh. Macam nak tak nak je jawab soalan yang diutarakan oleh Hayden itu. "Dah nama pun kawan lama Dhia, mestilah sama umur dengan dia," sindir Hayden tidak berlapik. Hanya pinggan makanannya sahaja ditatap sejak tadi. Kadang-kadang matanya singgah pada Dhia yang berada di meja bersebelahan dengan mereka. Tujuan utamanya datang ke sini untuk berbincang dengan gadis itu tentang masalah mereka tapi lain pula yang dapat. Dapat berbual dengan bos Dhia pula! "Boleh je jadi kawan lama, tapi umur dah 40 lebih." Selamba Harraz membidas semula perlian Hayden. Ingat dia nak berdiam diri je ke? Mulut Hayden puaka, dia boleh jadi dua kali ganda lebih puaka. Jangan nak main-main dengan dia. "Apa hubungan kau dengan Dhia? Kemain kau protect dia tadi macam aku ni perompak bersiri, datang nak rompak dia." Hayden ketap rahangnya kuat. Geram apabila dia teringat semula kejadian beberapa belas minit yang lepas. Bukan main Harraz lindungi Dhia daripada dia. Dhia pun bukan main percaya pada lelaki itu sampai menyorok di belakang tubuh tinggi lampai Harraz itu. "Her boss. Itu dah jadi tanggungjawab aku untuk protect pekerja-pekerja aku daripada serangan mana-mana binatang buas yang lalu-lalang dekat sini." Selamba Harraz menyindir Hayden. Tak tahulah sama ada lelaki itu sedar ataupun tidak yang dia sindir itu ialah Hayden. Meskipun begitu, Hayden langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi marah mahupun terasa dengan sindiran Harraz itu. Sebaliknya, hujung bibir lelaki itu ternaik sedikit. "Semua pekerja atau Dhia sorang je?" Lama pandangan mata mereka bersabung. Dua-dua tak mahu mengalah sesama mereka. "Kalau dah habis makan, saya rasa awak dah boleh balik kut." Satu suara yang menegur mereka itu menghentikan aksi berlawan mata antara mereka berdua. Dhia berdiri di tepi sambil bercekak pinggang memandang wajah Hayden. Mereka yang lain sudah selesai dengan makanan mereka. Hanya tinggal tunggu Hayden dan Harraz saja sebelum mereka keluar beramai-ramai daripada sini. Itulah, dari tadi pandang masing-masing sampai makanan depan mata pun terlupa nak makan. Entah apa yang mereka borakkan sampai muka serius memanjang pun dia tak tahu. "Awak halau saya?" Soal Hayden dengan intonasi kecewa. Penat dia datang jauh-jauh daripada tempat kerjanya di Putrajaya ke Kuala Lumpur semata-mata untuk berjumpa dengan gadis itu. Bila dah jumpa, kena halau pula. Tiada belas kasihan langsung! "Yes. Tak lama lagi waktu kerja dah nak start dah," tak menjaga perasaan lelaki itu langsung, terus Dhia berterus-terang. Sesekali matanya naik melihat jam dinding yang terletak di kedai mamak itu. Hanya berbaki lima minit sahaja lagi sebelum mereka perlu sambung bekerja semula seperti biasa. "Ish, yelah. Saya nak balik lah ni. Saya pun kerja juga," "Bagus pun. Ingatkan awak nak terus mohon kerja dekat sini tadi. Iyalah, selalu sangat datang sini sampaikan kawan-kawan kerja saya pun dah kenal muka awak," pedas ayat Dhia membalas. Ini bukan kali pertama Hayden datang untuk berjumpa dengannya ingin menerangkan tentang kejadian beberapa hari yang lepas itu. Cuma setiap kali lelaki itu datang, dia berjaya elakkan diri. Menyamar menjadi orang biasa yang secara tak sengaja lalu-lalang di situ. Oleh kerana Harraz sertai mereka juga pada hari ini, terpaksalah dia jadi diri sendiri saja. Selesai membayar makanannya, lelaki itu terus menuju ke kereta miliknya. Sempat matanya dikenyitkan kepada Dhia yang sedang berpeluk tubuh menunggu Hayden betul-betul berambus daripada kawasan kerjanya itu. Hayden tuu bukan boleh percaya. Kata bekerja, tapi gaya macam takde kerja. Setiap kali lunch, mesti ada saja muka lelaki itu setia menanti dia di dalam kereta bersama cermin mata hitam tersangkut di kolar baju kemejanya. Dia sampai naik hafal nombor plat kenderaan milik lelaki itu kerana terlalu kerap datang 'melawat'. Usai memastikan kereta Bmw itu hilang daripada pandangan mata, Dhia berjalan ingin masuk ke dalam pejabat semula untuk meneruskan kerjanya yang tergendala itu. Harraz disebelah dia hiraukan je bagai lelaki itu tak pernah ada disebelahnya. "Kawan awak tu takde kerja ke? Kak Wani kata dia memang selalu datang sini tunggu awak setiap kali lunch," Harraz berjalan beriringan dengan dia masuk ke dalam pejabat. Wajah gadis itu yang tenang ditatap penuh sabar menanti jawapan balas daripada Dhia. "Entahlah. Saya pun tak tahu." beritahunya jujur. Memang tidak dinafikan pekerjaan Hayden masih menjadi tanda tanya bagi dia mahupun Aina sejak mereka bertembung di lapangan terbang beberapa minggu yang lepas lagi. Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya pekerjaan sebenar makhluk tuhan bernama Hayden Hakeem itu. Dia sedia maklum dengan kekayaan keluarga lelaki itu, jadi tak mustahil lah kalau Hayden mewarisi syarikat kepunyaan Encik Rasyad yang terletak di Melaka. Tapi yang peliknya, setahunya bapa kepada Hayden itu tidak mempunyai sebarang syarikat yang terletak di kawasan Selangor ini. Tak mungkin lelaki itu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Melaka semata-mata untuk berjumpa dengannya kut. Boleh je Hayden duduk dengan keluarga dia kalau memang betul pun itu sebenarnya pekerjaan sebenar Hayden. Tiada siapa diantara mereka yang ada jawapan untuk soalan itu. perlu tanya kepada tuan punya badan sendiri lah kalau nak tahu. ---- "Awak buat apa dekat sini?" Sedang mereka dalam perjalanan pulang ke rumah daripada berbelanja di pasar raya berdekatan selepas habis waktu bekerja, Aina beritahu dia yang ada sebuah kereta mewah yang parkir betul-betul dihadapan pagar rumah mereka. Menghalang kereta Mini Hatch milik Aina untuk masuk ke kawasan parkir rumahnya. Apabila diteliti, baru mereka perasan yang kenderaan mewah yang menghalang laluan mereka itu ialah kereta milik Hayden. Nak tak nak, terpaksalah dia keluar juga daripada kereta untuk berdepan dengan lelaki itu. "I said we still have things to discuss." Ujarnya sebaik Dhia mendekatinya yang setia menunggu kepulangan gadis itu sejak beberapa puluh minit yang lepas. Tak sangka pula gadis itu akan pulang ke rumah selewat ini. Kalau dia tahu, memang dia pulang rumah dulu bersihkan apa yang patut sebelum datang untuk berdepan dengan Dhia secara bersemuka. Dhia gulingkan mata. Tak habis-habis nak paksa dia. Orang dah cakap tak nak jumpa tu tak nak lah! Payah betul cakap dengan Hayden ni. "We have nothing to discuss about. Baik awak ketepikan kereta awak sebelum saya suruh Aina rempuh je kereta Bmw awak ni!" Ugut Dhia tegas. Tak mahu dia berlembut lagi dengan lelaki itu. Makin lembut, makin naik lemak pula! Menggelegak semacam je badannya apabila melihat wajah Hayden yang tetap tenang tanpa riak itu. Langsung tidak terkesan dengan ugutan gadis itu. "Rempuh lah. Saya boleh beli baru." Selamba Hayden membalas. Siap jelirkan lidah lagi padanya. Amboi, kemain eh anak Puan Atiya ni membidas ayat dia. Mentang-mentanglah keluarga dia kaya. Ikut suka mak bapak dia je nak beli baru. Dhia mengeluh perlahan. Tiada pilihan lain, terpaksalah dia bersetuju dengan kehendak lelaki itu. "Ketepikan kereta. Lepas dah parking kereta dekat dalam, kita bincang." Ujarnya. Dia ingin berlalu semula ke kereta Aina sebelum lelaki itu lebih pantas menghentikan pergerakannya. Pergelangan tangan Dhia dia pegang untuk menahan gadis itu pergi lebih jauh. "Saya tak percaya awak. Masuk kereta dengan saya baru saya alihkan kereta," wajah Hayden dipandang seperti tak percaya dengan permintaan jejaka tampan dihadapannya itu. Dia nak pergi bagitahu Aina je kut yang lepas Hayden alihkan kereta, Aina boleh masuk parkir di dalam. Takkan itupun tak percaya kut? Bukannya rumah Aina ni jauh beribu batu daripada sini pun sampai dia sempat nak lari bagai. Tak kuasa dia nak menipu! "Awak nak makan kaki ke nak makan tangan dulu ni?" Dia bagi jelingan maut pada pergelangan tangannya yang masih tergenggam elok pada tangan kekar Hayden itu. Sedar dirinya membuat kesilapan, pantas genggaman tangannya pada lengan gadis itu dilepaskan. Rasakan! Dia dah lama perhati Hayden ni memang jenis suka pegang pergelangan tangannya untuk menghalang dia daripada berbuat apa-apa. Baru kali ini berkesempatan nak menegur. Kalau dibiarkan makin lama, makin naik daun pula tunang perempuan tak cukup kain tu! Sedap juga nama panggilan yang dia berikan pada Bella tu. Sesuai sangat dengan pakaiannya yang langsung tidak mengikuti ajaran islam. Kadang-kadang dia sampai tertanya sama ada Hayden tunang dengan Bella sebab dia pakai macam tu je ke? Astaghfirullah. Istighfar, Dhia. Istighfar. Entah-entah hati si Bella itu lebih suci daripada hati kau sendiri tu. Jangan judge orang daripada luaran je. Mana tahu dalaman dia lagi cantik daripada luarannya yang terdedah sana-sini. "Saya nak cakap dengan Aina sekejap je lepas tu saya datang lah sini balik. Tak menyabar betul," Tengkuk lelaki itu diusap-usap. Malu dengan kelakuannya yang agak tidak matang ketika itu. Selesai memberitahu rakan baiknya itu, Dhia kembali semula ke tempat Hayden berada. Tanpa banyak bicara, pintu penumpang sebelah pemandu terus dia buka dan masuk ke dalam perut kereta lelaki itu. Hayden juga tak banyak soal hanya mengikut sahaja gerak-geri gadis itu. Hayden parkir keretanya berdekatan taman permainan yang terletak tidak jauh dari rumah Aina itu. Kawasan yang diparkir oleh Hayden ini agak terang dengan lampu jalan yang menghiasi jalan kawasan perumahan ini, jadi dia tak adalah bimbang sangat kalau Hayden cuba nak apa-apakan dia di sini. Kalau jerit mesti jiran-jiran berdekatan sini juga boleh dengar. "Cepat bincang, cepat saya boleh balik." Belum sempat Hayden mahu berkata apa-apa, Dhia terlebih dulu memotong. Dia memeluk tubuh tanda dia memang tidak mahu berlama berduaan dengan lelaki itu di dalam keretanya ini. Walaupun Hayden tak pernah menyatakan sebarang kenyataan tentang hubungan mereka, sama ada hanya sebagai kawan lama je ke, dia tetap perasan dengan perlakuan lelaki itu yang berbeza terhadapnya. Cakaplah dia perasan sekalipun, Aina sendiri kata perlakuan Hayden terhadap dia dan gadis itu memang berbeza. Macam mana dia boleh berlagak seperti tiada apa yang berlaku walhal hatinya sedang tersakiti? Adilkah bagi dirinya untuk pendam semuanya dan berlagak seperti mereka sekadar kawan lama yang berjumpa semula? Hayden senyum kecil. Bahu gadis itu dipegangnya untuk beralih menghadapnya. Jelas terkejut dengan perbuatan Hayden yang tidak terduga itu membuatkannya mati kata. Tak seperti selalu, dia tak berdaya untuk menghalang perlakuan Hayden terhadapnya. Bagai dihipnosis oleh sepasang mata hitam pekat itu untuk menurut sahaja kemahuannya. Sedar Dhia, dia dah bertunang. Tak baik ganggu hubungan orang. Desis hati kecilnya. Pantas mata gadis itu dialihkan ke arah lain. Bahunya digerak-gerakkan untuk melonggarkan pegangan tangan kekar Hayden. Sedaya upaya dia cuba mengawal dirinya daripada dikawal oleh Hayden. Ingat Dhia, ini semua hasutan syaitan. Kau tak boleh mudah terpedaya dengan segala apa yang lelaki itu lakukan untuk kau. "Saya dah putus tunang dengan Bella. Sekarang, boleh saya cakap pasal kita pula?" Walaupun hanya perlahan, telinganya dapat menangkap satu suara yang sedang ketawa yang cukup merdu pada sistem pendengarannya itu. Allah, godaan apakah ini? Aku tak kuat! Sengaja gadis itu berdehem kuat, menyedarkan dirinya daripada terus terbuai dengan kata-kata manis seorang Hayden. "So what if awak dah putus tunang sekalipun dengan Bella? Saya bukannya sesiapa dalam hidup awak yang awak kena bagitahu saya semua benda," ujarnya berlagak seperti dia tidak kisah dengan kisah hidup lelaki itu. Sejak bila pula perangai Hayden boleh berubah sampai begini sekali? Sampai dia rasakan yang berada disebelahnya sekarang bukan Hayden yang dia kenal. Hilang sudah Hayden yang egonya kuat mengalahkan batu itu. Segala cacian dan makiannya terhadap lelaki itu langsung tidak memberikan sebarang kesan sebaliknya mendaptkan senyuman manis daripada lelaki berlesung pipit itu. Kening lelaki itu terjungkit naik. Hujung bibirnya juga ternaik sedikit. Bagai sedang mengusiknya kerana mengatakan yang dia tak kisah langsung tentang status lelaki itu. "Eh bukan ke awak yang paling protes bila dapat tahu saya dah tunang? Siap tak nak saya hantar sampai depan rumah lagi bila dapat tahu. Mama saya pun tak protes seteruk awak bila dapat tahu saya dah tunang tau," Sudah! Hayden nak bandingkan reaksi dia dengan Puan Atiya pula! Mestilah dia overreact berbanding wanita bekerjaya itu sebab dia pulang ke Malaysia semula kerana lelaki itu tahu tak! Susah payah dia mempertaruhkan nyawa kepada umminya semata-mata mahu pulang semula ke tanah airnya tup-tup dapat tahu Hayden dah bertunang! Tapi, dia siapa untuk menghalang hubungan Hayden dengan perempuan lain? Sepupu? Ahli keluarga terdekat? Dia cuma kawan masa kecil Hayden yang Hayden sendiri tak dapat ingat apa-apa tentang dirinya. "Mama awak lain! Saya lain!" "Apa yang lain?" Dhia mati kata. Lidahya jadi keras sejurus soalan itu dilontarkan kepadanya. Apa yang lain eh? "Awak nak cakap yang awak protes bagai nak rak sebab awak suka saya ke?" Tebak Hayden. Ekspresi wajahnya sengaja dibuat pura-pura terkejut dengan tekaan dia sendiri. Dhia hanya berdecit kecil. Sempat dia hadiahkan lelaki itu jelingan tajam. Perah santan betul lelaki ni! "Jangan perasan lah! Saya overreact sebab.. sebab.." "Sebab?" Otaknya bagai berhenti berfungsi. Tiada langsung idea yang muncul di dalam benak fikirannya saat ini. Matanya meliar ke seluruh kawasan. Cuba mencari idea untuk melarikan diri daripada menjawab soalan itu. Takkan dia nak cakap sebab Bella tu bukan yang terbaik untuk Hayden pula kut. Risau pula kalau ayatnya itu nanti disalahtafsir oleh lelaki itu sendiri. Sedang fikirannya menerawang, matanya terhenti pada Aina yang berada tidak jauh daripada tempat kereta Hayden diparkir iaitu di kawasan luar rumah Aina sedang mengeluarkan semua barang-barang yang dibeli mereka di pasar raya tadi untuk dibawa masuk ke dalam rumah. Serta-merta otaknya mendapat idea bernas. Aina mungkin akan marah dia kerana selitkan namanya dalam masalah dia sendiri, tapi dia tiada pilihan lain! Maaf wahai kawanku! Aku terpaksa menggunakan namamu untuk menyelamatkan diriku yang sedang dalam kesusahan ini! "Sebab Aina suka awak!" Keadaan menyepi untuk beberapa saat. Hayden pandang dia, dia pandang Hayden. Cuma bezanya, pandangan mereka berdua berlainan. Dhia dengan riak wajah terdesak, manakala Hayden dengan riak wajah masih terkejut dengan pembohongannya itu. Matilah kau masuk rumah nanti, Dhia.
Download Novelah App
You can read more chapters. You'll find other great stories on Novelah.
Book Comment (452)
Kurt Justin Ancheta
how to stay in touch with you and your family and friends yun mahal ko na pano po Box address is no longer in use for the moment HAHAHAHAHAHAHAHHA you have any questions or concerns you may have to do black and white na may be a good time to stay in touch with you and your family and friends yun mahal ko na pano po Box address is no longer in use for the moment HAHAHAHAHAHAHAHHA you have any questions or concerns you may have to do black and white na may be a good time to stay in touch with you
how to stay in touch with you and your family and friends yun mahal ko na pano po Box address is no longer in use for the moment HAHAHAHAHAHAHAHHA you have any questions or concerns you may have to do black and white na may be a good time to stay in touch with you and your family and friends yun mahal ko na pano po Box address is no longer in use for the moment HAHAHAHAHAHAHAHHA you have any questions or concerns you may have to do black and white na may be a good time to stay in touch with you
16/08/2023
1love it
7d
0muito lindo
10d
0View All